PUTRAJAYA, 25 Jun: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan penggunaan wang berjumlah RM11 juta dalam bentuk mata wang digital yang dipercayai hasil penyelewengan dana sukuk pembinaan projek lebuh raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata wang berkenaan disyaki diperoleh daripada dana sukuk yang telah dibelanjakan.
SPRM jelas beliau sedang mengesan bagaimana wang berkenaan dikeluarkan dan dipercayai ada kaitan dengan salah guna dana sukuk lebuh raya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti hubungan antara transaksi berkenaan dengan beberapa saksi lain,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azam memaklumkan 10 lagi saksi akan dijangka akan dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Setakat ini SPRM telah memanggil 55 individu untuk dirakam keterangan dengan sembilan tangkapan dilakukan.
“Selain itu, penggeledahan turut dilaksanakan termasuk di kediaman suspek dengan 14 akaun individu serta lapan akaun syarikat dibekukan melibatkan jumlah keseluruhan mencecah RM156 juta,” katanya.
Beliau memberitahu siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta turut melibatkan aktiviti penyelewengan berkaitan penggunaan arak dan perjudian tidak berlesen, yang dianggarkan membabitkan dana berjumlah RM25 juta.
SPRM sebelum ini menyita pelbagai aset dianggarkan bernilau kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri. -TVS.