SARATOK, 25 Jun: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan sebanyak RM5.15 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dari tahun 2023 hingga 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohammad Duri menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan projek-projek ini bergantung kepada kerjasama pemilik tanah, khususnya dalam memaklumkan sebarang isu lebih awal agar projek tidak tergendala atau terbengkalai.
“Tiada gunanya kita laksanakan projek berimpak tinggi jika akhirnya menyusahkan orang lain. Setiap projek, sama ada daripada peruntukan BDDA, MRP atau RTP akan dibincangkan bersama pemimpin akar umbi sebelum dimulakan,” katanya ketika berucap di Pengerami Ngiling Tikai SK Lubok Nibong pada Rabu.
Beliau turut memberi jaminan kepada pekebun kecil sawit di sepanjang laluan projek naik taraf Jalan Serandong–Perpat–Paloh–Batang Maro bahawa tanaman mereka tidak akan dimusnahkan.
“Saya sendiri menerima surat kebimbangan daripada pekebun kecil. Isu ini telah dibincang bersama JKR Bahagian Betong dan saya minta mereka bertenang,” ujarnya, sambil memaklumkan satu sesi dialog khas bersama penduduk dan JKR akan diadakan dalam masa terdekat.
Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan adalah memastikan pembangunan tidak menjejaskan hak dan sumber rezeki penduduk.-TVS