LAWAS, 25 Jun: Satu projek perintis tanaman ladang padi bakal dilaksanakan di daerah kecil Sundar melalui kerjasama pelabur swasta dan pakar dari Universiti Malaya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dua lokasi di Lawas dikenal pasti untuk projek ini iaitu di Sinampuan dan Tanjong Katong, Sundar.
“Dua kawasan yang telahpun dikenal pasti dan telah diberi kelulusan untuk pembangunan ladang padi ini yang juga menarik minat pelabur swasta ini ialah kawasan Sinampuan, Tanjong Katong di Sundar.
“Kita minta mereka membuat projek perintis dulu termasuk kawasan dan tanah mana yang hendak dikenal pasti dan kita akan bantu mereka, jadi ini penting untuk mereka membuktikan kesungguhan mereka komitmen mereka,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri taklimat oleh MF-LORD mengenai projek penanaman padi di Sundar dan penternakan kerbau di Meragang, bertempat di Hotel Seri Malaysia, hari ini.
Projek ini akan dimulakan sebaik kajian lapangan bersama Jabatan Pertanian diselesaikan dan ia turut mendapat sokongan penuh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, serta Setiausaha Politik kepada Premier, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Sam Laya. – TVS