KOTA SAMARAHAN, 25 Jun: Pertandingan Akhir Hero Matematik Piala Dato Sri Roland Sagah 2025 tampil sebagai platform terbaik mencungkil bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah rendah.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata inisiatif ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa pembangunan modal insan berkualiti tinggi ke arah Sarawak maju menjelang 2030.
“Pertandingan ini bukan sekadar menguji kepintaran, tetapi menyemai minat terhadap Matematik dengan pendekatan menyeronokkan dan mencabar minda,” katanya menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri MEITD, Datuk Dr Annuar Rapaee semasa majlis penutupan di sini, hari ini.
Program yang berlangsung sejak 26 April lalu disertai 1,448 murid Tahun 4 hingga Tahun 6 daripada 111 buah sekolah rendah sekitar Kuching dan Samarahan.
Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Sungai Jernang, Kuching muncul juara keseluruhan dan menerima Piala Anugerah Unggul serta wang tunai RM600.
Pertandingan ini dianjurkan bersama oleh UiTM Cawangan Sarawak (KPPIM), Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Sarawak dan Lighthouse Hope of Sarawak.
Ia turut dianggap sebagai satu langkah penting memperkukuh asas STEM dalam kalangan generasi muda Sarawak.-TVS