SIBU, 24 Jun: Penggunaan senjata elektrik jenis Taser Gun X2 oleh anggota polis perlu dilaksanakan secara berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan awam dan profesionalisme anggota sentiasa terpelihara.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, setiap anggota perlu memahami prinsip penggunaan kekerasan yang munasabah dan menggunakan Taser hanya dalam situasi yang dibenarkan undang-undang.
“Kita tidak mahu wujud sebarang penyalahgunaan Taser kerana ia boleh mencetuskan isu integriti dan memberi kesan kepada imej pasukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, latihan seumpama ini penting supaya setiap anggota benar-benar faham bukan sahaja cara teknikal penggunaan Taser, malah konteks perundangan dan tanggungjawab moral ketika mengendalikannya.
“Pengendalian Taser bukan hanya soal menekan picu, tetapi soal membuat keputusan tepat dalam tekanan, mengikut undang-undang dan garis panduan yang ketat,” tegas beliau.
Terdahulu, seramai 40 peserta dari pelbagai cawangan dan balai di bawah IPD Sibu menyertai Kursus Pengendalian Taser Gun X2 Siri 1 Tahun 2025 anjuran Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Sibu di Balai Polis Sungai Merah semalam.
Kursus itu dikendalikan oleh jurulatih Inspektor Mohd Nazrul Dalhan dari Unit Persenjataan IPK Sarawak, dengan fokus kepada konsep, fungsi serta kaedah penggunaan Taser secara selamat dan efektif.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Boniface Bajai dan turut dihadiri ASP Wee Soon Guan serta ASP Wilson Denis Ugap. – TVS