KUCHING, 25 Jun: Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman menegaskan bahawa penambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikatakan bakal dibincangkan dalam Persidangan Khas DUN Sarawak hanyalah spekulasi.
“Sudah tentu setiap kali (pilihan raya akan ada penambahan kerusi) tetapi kalau nak katakan pilihan raya negeri semakin hampir, kita masih jauh lagi.
“Jadi, spekulasi itu saya ada membaca tentangnya, tetapi ia hanya spekulasi, saya pun tidak tahu lagi,” katanya kepada TVS ketika diminta mengulas perkara berkenaan pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini belum ada maklumat rasmi diterima mengenai agenda sebenar yang akan dibentangkan dalam persidangan tersebut.
“Saya kurang pasti sebab kita sedia maklum, sidang DUN khas yang akan diadakan pada awal Julai dan kita juga dijemput untuk hadir mesyuarat awal, untuk taklimat berkenaan isi kandungan utama perbincangan.
“Namun setakat ini kita belum lagi mendapat sebarang maklumat tentang apa yang kita bincangkan di persidangan nanti,” jelasnya.
Persidangan Khas DUN Sarawak dijadual berlangsung pada 7 Julai ini, yang dikatakan bagi membentangkan rang undang-undang penambahan 15 kerusi Parlimen dan 17 kerusi DUN.
Untuk rekod sebelum ini, Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 telah dibentuk di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) untuk meneliti tuntutan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Isu ini disokong secara prinsip dalam Mesyuarat MTPMA63 seperti yang dinyatakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta persetujuan awal termasuk dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.
Setakat ini, Sarawak memiliki 31 kerusi Parlimen dan Sabah dengan 25 kerusi daripada 222 kerusi keseluruhan. – TVS