MIRI, 25 Jun: Seorang pemuda terpaksa menahan azab selepas jari kelingking tangan sebelah kanan tertusuk paku rak besi ketika sedang melakukan kerja di sebuah premis di Kuala Baram di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.32 malam dengan menggerakkan enam anggota BBP Lutong ke lokasi kejadian.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan selepas jari kelingking tangan kanannya tertusuk paku besi rak semasa bekerja.
“Pihak bomba segera melakukan size-up sebelum menggunakan rescue cutter untuk memotong bahagian besi yang mencengkam jari mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, proses pemotongan berjalan lancar dan mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan sedar serta stabil.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.07 malam tanpa sebarang risiko lanjut,” ujarnya. – TVS