KUCHING, 25 Jun: Seramai 150 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak berpeluang merasai sendiri pengalaman berbahas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menerusi Program Parlimen Mahasiswa di sini, hari ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menyifatkan program itu sebagai platform penting untuk memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai proses dan tatacara perbahasan di dalam Dewan.
“Kita perlu melatih golongan muda dan mendedahkan mereka kepada amalan Parlimen supaya mereka benar-benar merasai suasana perbahasan.
“Tiada gunanya bercita-cita menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam Dewan,” katanya ketika berucap pada Program Parlimen Mahasiswa UiTM Cawangan Sarawak, Penggal Ketiga Siri 1.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah merakamkan penghargaan kepada pihak DUN Sarawak, khususnya kepada Speaker, atas peluang yang diberikan kepada mahasiswa universiti berkenaan.
“Kami berharap program ini terus mendapat sokongan daripada kerajaan Sarawak, khususnya Yang Berhormat Tuan Speaker, agar ia dapat diteruskan setiap tahun supaya pelajar dapat merasai suasana sebenar perbahasan,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman seperti ini amat signifikan, lebih-lebih lagi dalam konteks semasa apabila had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, menjadikan golongan muda antara penentu masa depan negara. – TVS