JULAU, 26 Jun: Penduduk di kawasan Rantau Limau dan Bukit Seri di sini bakal menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik menerusi projek naik taraf jalan balak yang dilaksanakan kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata projek itu amat penting bukan sahaja sebagai jalan penghubung utama, malah memudahkan ibu bapa menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Jambu.
“Projek ini mendapat peruntukan daripada kerajaan Sarawak untuk menaik taraf bekas jalan balak susulan projek naik taraf jalan ke Rumah Lugum, Nanga Taba yang dimulakan sejak tahun lalu,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek berkenaan, semalam.
Beliau turut mengingatkan kontraktor yang dilantik agar komited dan memastikan projek disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Selepas majlis di tapak projek, rombongan ADUN Meluan turut mengadakan sesi dialog bersama penduduk di Rumah Felix Jalin, Bukit Seri.
Dalam majlis itu juga berlangsung upacara simbolik penyerahan cek pampasan kepada 29 penuntut tanah yang terlibat dalam projek naik taraf jalan balak ke SK Nanga Jambu.
“Saya juga diberi penghormatan untuk mengetuai upacara Ngiling Bidai di Rumah Felix Jalin sebagai simbolik penutupan perayaan Gawai,” tambahnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Julau, Minggu Jampong, Jurutera Bahagian Sarikei, Ir. Ts. Kennedy Kedo, Pegawai Penguasa Jabatan Tanah dan Ukur Bahagian Sarikei, Sr. Awan Amal, ketua-ketua kaum serta masyarakat sekitar Rantau Limau dan Bukit Seri. – TVS