MIRI, 25 Jun: Miri Heritage Trail disifatkan sebagai warisan hidup yang bukan sahaja meraikan sejarah luar biasa bandar ini, malah menjadi khazanah berharga untuk dinikmati generasi masa depan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, inisiatif itu merupakan usaha kolektif mencerminkan kecintaan terhadap identiti tempatan dalam memperkenalkan serta memelihara warisan Miri di persada dunia.
“Setiap bandar di Sarawak ada ceritanya yang tersendiri. Namun, Miri begitu istimewa bukan hanya kerana mercu tandanya seperti The Grand Old Lady dan Pantai Brighton, tetapi kerana semangat luar biasa rakyatnya.
“Anak-anak Miri adalah penjaga kepada cerita-cerita ini. Apa yang kita saksikan hari ini bukan sekadar peta tapak bersejarah, sebaliknya hasil dedikasi bertahun-tahun oleh individu yang cintakan bandar ini sepenuh hati,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Miri Heritage Trail, di sini hari ini.
Sebastian turut menegaskan pentingnya menelusuri sejarah bagi membolehkan generasi baharu memahami konteks semasa dan merancang masa depan dengan lebih bijak.
Mengulas kisah perjuangan Awang Metali di Pantai Brighton, beliau menyifatkannya sebagai simbol keberanian dalam mempertahankan tanah air, menjadikan kawasan itu bukan sekadar tapak bersejarah tetapi juga lambang penghormatan kepada pejuang terdahulu.
“Mereka yang gugur tidak hanya dikenang kerana lokasi peristiwa, tetapi kerana nilai pengorbanan yang memberi erti kepada keamanan yang kita kecapi hari ini.
“Kita hargai kedamaian dan itu adalah sesuatu yang sangat indah,” katanya.