PUTRAJAYA, 25 Jun: Malaysia menyatakan minat untuk meneroka potensi tenaga hijau di Republik Kyrgyz sebagai usaha memperluas kerjasama dua hala dalam bidang tenaga mampan dan teknologi hijau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata , Kyrgyz memiliki kapasiti yang luas dalam bidang kuasa hidro dan tenaga hijau, sekali gus membuka peluang besar untuk melaksanakan kerjasama strategik dalam sektor tersebut.
“Ini pastinya menarik minat Malaysia untuk memahami, mengkaji serta meneroka potensi manfaat daripadanya,” katanya pada sidang media bersama Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Sementara itu, Zhaparov turut mempelawa pemain-pemain industri tenaga mampan Malaysia untuk meneroka dan melabur dalam ekonomi hijau di negara Asia Tengah itu.
Menurutnya, 90 peratus sumber tenaga di Republik tersebut dijana oleh loji kuasa hidro. “Kami menjemput pelabur-pelabur dari Malaysia untuk mengambil bahagian dalam kerjasama strategik ini,” katanya. – TVS