LAHAD DATU, 25 Jun: Sabah kini menambah satu lagi mercu tanda pemuliharaan alam sekitar dengan pelancaran rasmi Stesen Penyelidikan Langom, hasil kolaborasi antara Yayasan Sabah dan Jabatan Perhutanan Negeri.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmy Yahya, yang hadir mewakili Ketua Menteri Sabah.
Beliau menyifatkan pembukaan stesen ini sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa usaha penyelidikan biodiversiti dan pemuliharaan hutan di kawasan strategik termasuk Lembah Danum, Maliau Basin dan Imbak Canyon.
“Inisiatif ini selaras dengan fokus ESG – Environment, Social & Governance – serta cabaran perubahan iklim. Langom akan menambah kapasiti penyelidikan negeri dan galakkan generasi muda mencintai alam sekitar,” kata Shahelmy.
Terletak berhampiran sungai dan hutan konservasi, Stesen Langom turut berperanan sebagai pusat kawalan terhadap aktiviti pemburuan haram dan pencerobohan di kawasan terlindung.
Walaupun masih dalam fasa permulaan, Langom telah menarik minat penyelidik antarabangsa. Minggu hadapan, pelajar dari universiti di United Kingdom dijangka menjalani kursus penyelidikan lapangan di sini, susulan kekangan kapasiti di Danum Valley Field Centre.
Pihak Yayasan Sabah memaklumkan kemudahan asas di Langom termasuk makmal pengeringan spesimen dan penginapan ringkas untuk penyelidik serta pelajar. Ia berperanan sebagai pelengkap kepada pusat kajian sedia ada dan menawarkan platform penting untuk kajian ekologi lapangan.
Semasa lawatan rasmi, Shahelmy turut menyaksikan pembentangan pelajar dua buah sekolah ahli Kelab Pencinta Alam yang menyertai program ‘Nature Orientation’ selama tiga hari dua malam – satu bukti keberkesanan inisiatif kesedaran alam sekitar Yayasan Sabah sejak 1988.
“Pendekatan pendidikan lapangan seperti ini mampu menyemai minat dan kesedaran mendalam tentang pemuliharaan biodiversiti dalam kalangan generasi muda,” tambahnya.
Sabah kini terus meningkatkan kapasiti penyelidikan hutan hujan tropika melalui kerjasama dengan institusi antarabangsa seperti Royal Society dan Universiti Kyoto. Kajian jangka panjang terhadap spesies liar — termasuk orang utan, gajah dan enggang — menjadikan Langom antara lokasi terbaik dunia untuk penyelidikan ekologi semula jadi.
Langom, dinamakan sempena sungai kecil “Langkau Mito”, kini melengkapkan rangkaian tapak konservasi utama negeri ini dan membuka ruang baharu untuk penyelidikan serta pendidikan alam sekitar. -TVS