JAKARTA, 24 Jun: Seramai 11 warga Indonesia yang dievakuasi dari Iran selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, malam tadi, menjadikan mereka kumpulan pertama pulang susulan konflik memburuk antara Iran dan Israel.
Kementerian Luar Negeri (Kemlu) memaklumkan, kumpulan terbabit menaiki penerbangan komersial dari Istanbul, Turki, selepas menempuh perjalanan darat selama kira-kira 16 jam dari Tehran ke Baku, Azerbaijan.
Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia, Yudha Nugraha berkata mereka merupakan sebahagian daripada 97 individu yang berjaya dibawa keluar dari Iran oleh Kerajaan Indonesia.
“Pemindahan ini dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai pihak susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing akibat serangan Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, 18 lagi warga Indonesia yang dijadualkan tiba pada hari sama melalui Doha mengalami penangguhan selepas ruang udara rantau berkenaan ditutup, menyebabkan penerbangan mereka dialihkan ke Jeddah.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 68 warga Indonesia masih berada di Baku dan pihak Kemlu sedang mengatur kepulangan mereka dalam masa terdekat.
Menurut Yudha, proses evakuasi dilaksanakan menerusi laluan penerbangan komersial menggunakan beberapa destinasi selamat seperti Istanbul, Doha dan Jeddah.
Katanya, langkah itu dilaksanakan mengikut arahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi memastikan keselamatan warganya yang berada di kawasan bergolak.
Kemlu turut memberi jaminan akan terus memantau situasi di Timur Tengah dan memperkukuh pasukan Crisis Response Team (CRT) di peringkat pusat serta di semua perwakilan luar negara.
Kerajaan turut menggesa semua warganya di Timur Tengah agar berwaspada, mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan serta segera menghubungi perwakilan Indonesia sekiranya menghadapi kesulitan atau kecemasan.