KUCHING, 25 Jun: Forum Pendidikan Wilayah Utara Australia (FPWUA) 2025 menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Sarawak dan Australia khususnya dalam bidang pembangunan bakat, latihan vokasional dan pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, forum ini seiring dengan transformasi pesat yang sedang dilalui Sarawak dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, pembinaan, ekonomi digital dan pembuatan.
“Bagi memastikan kemajuan ini berterusan, kerajaan mensasarkan untuk melahirkan 500,000 pekerja berkemahiran menjelang 2030 dengan sekurang-kurangnya 30,000 tenaga kerja mahir dilahirkan setiap tahun,” katanya ketika merasmikan FPWUA 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, pendidikan dan pembangunan bakat adalah kunci utama untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan negeri ini.
Sementara itu, Menteri Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Asia Wilayah Utara Australia, Robyn Cahill menegaskan kerjasama pendidikan antara kedua-dua pihak telah bermula sejak 1950 dan kekal relevan hingga kini.
“Kita perlu mengukuhkan pendidikan vokasional agar golongan muda lebih berminat dan memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan industri semasa,” ujarnya.
Forum sehari ini turut disertai pelajar dan usahawan tempatan bagi meneroka pelbagai peluang pendidikan dan keusahawanan di Wilayah Utara Australia.-TVS