Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bot pukat bilis yang dikesan beroperasi hanya 0.37 batu nautika dari pantai Tabawan, Kunak semasa rondaan Ops Pluto Timur dan Ops Tiris. Foto Maritim Malaysia.

Dua bot pukat bilis ditahan menjala terlalu hampir ke pantai Tabawan

ByTVS

KUNAK, 25 Jun: Dua bot pukat bilis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan terlalu dekat dengan pesisir pantai perairan Tabawan, Kunak.

Menurut Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, kedua-dua bot itu ditahan secara berasingan sekitar jam 11.30 pagi kelmarin ketika rondaan rutin di bawah Ops Pluto Timur 2/2023 dan Ops Tiris 3.0.

Pemeriksaan awal ke atas bot pertama menemui empat kru — dua warga tempatan berusia 31 dan 39 tahun serta dua warga Filipina berusia 28 dan 65 tahun — bersama hasil tangkapan lima kilogram bilis.

Sementara itu, bot kedua dikendalikan oleh dua rakyat Malaysia berusia 21 dan 23 tahun serta dua remaja warga Filipina berusia 15 dan 22 tahun, dengan tangkapan seberat empat kilogram. Kesemua lapan individu memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua bot tersebut beroperasi pada jarak kira-kira 0.37 batu nautika dari pantai, iaitu kurang daripada jarak minimum 1.5 batu nautika yang ditetapkan dalam Akta Perikanan 1985,” jelas Dzulfikhar dalam kenyataan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha bot yang melanggar syarat lesen, khususnya mereka yang menangkap ikan di zon larangan.

Kedua-dua bot bersama kru dan hasil tangkapan telah dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Dalam kes serupa pada 5 Jun lalu, sebuah bot tempatan turut ditahan kerana menjala hanya satu batu nautika dari Tanjung Tembungo, Kota Kinabalu, membabitkan kru warga Indonesia dan rampasan hampir satu tan ikan.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa penggunaan pukat bilis hanya dibenarkan sekurang-kurangnya 1.5 batu nautika dari pantai demi melindungi ekosistem marin dan menjamin kelestarian sumber perikanan negara.

Orang awam digesa mematuhi undang-undang maritim dan menyalurkan sebarang maklumat aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp di 016-9305727 atau talian kecemasan MERS 999. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan