KUDAT, 25 Jun: Enam kru warga Vietnam bersama sebuah vesel nelayan asing (VNAV) ditahan Maritim Malaysia selepas menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Tigabu, Pitas, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata bot berkenaan dikesan sekitar 13 batu nautika timur laut Pulau Tigabu hasil maklumat awam.
“Bot ronda CENDERAWASIH 10 segera digerakkan ke lokasi untuk pemantauan dan berjaya mengesan bot suspek kira-kira jam 5.50 pagi. Ketika cuba dihampiri, mereka cuba melarikan diri namun berjaya dihentikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kru berumur antara 27 hingga 44 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Turut ditemukan di atas bot ialah alat menangkap balat diperbuat daripada besi serta 300 liter minyak diesel.
Bot dan semua kru ditahan untuk siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM2 juta.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.
Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim khususnya di Kudat untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang salah laku di laut ke talian Pusat Operasi Kudat 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. – TVS