KABONG, 25 Jun: Seramai 76 individu ditahan dalam operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di dua lokasi sekitar Kabong, semalam.
JIM Sarawak dalam kenyataan memaklumkan operasi dikendalikan Unit Penguatkuasa Imigresen Sarikei bersama Pasukan Tindakan Khas (PTK) itu melibatkan seramai 24 anggota penguat kuasa.
“Dalam serbuan tersebut, seramai 81 individu telah diperiksa dan 76 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan-peraturan berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Daripada jumlah tersebut, 62 lelaki dan 14 wanita warga asing dipercayai pendatang tanpa izin ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.
Penahanan itu, kata kenyataan berkenaan, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JIM membanteras aktiviti pendatang tanpa izin di negeri ini.
“Majikan dan pemilik premis diingatkan agar sentiasa memastikan pematuhan kepada undang-undang imigresen.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah,” tegas JIM. – TVS