KUCHING, 24 Jun: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Tahlil Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, di kediaman rasmi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, malam tadi.
Ketibaan Tun Pehin Sri dan Toh Puan pada jam 6.40 petang disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya bersama isteri, Datin Shanti dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.
Majlis dimulakan dengan solat fardhu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan surah Yasiin, bacaan tahlil dan seterusnya solat fardhu Isyak berjemaah yang telah dipimpin oleh Sahibul Fadilah Imam Besar Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Hadir sama, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain; Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie serta Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak.
Turut serta juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN-ADUN, Ketua-ketua Jabatan Sarawak dan Persekutuan termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan mendoakan semoga Premier Sarawak terus tabah dan bersabar dalam menerima ketentuanNya.
Seluruh rakyat Sarawak juga turut sama berduka dan merasai kehilangan sosok yang disayangi semua. -TVS