SELAYANG, 24 Jun: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat pekeliling yang mengklasifikasikan keputusan A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tidak cemerlang.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, proses kemasukan ke Matrikulasi sangat adil kerana memberi peluang kepada lepasan SPM berdasarkan keutamaan dan kuota yang telah ditetapkan.
“Kita memang tidak pernah sebut sama sekali A- itu tidak cemerlang atau tidak layak. Jadi perlu difahami oleh masyarakat bahawa konteksnya jauh sekali dengan apa yang sedang dilakukan kerana KPM sedang menyusun semula (sistem),” katanya.
Fadhlina ditemui media hadir selepas hadir Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM), Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) 2024 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata pelajar yang memohon untuk kemasukan ke Matrikulasi akan melalui proses sedia ada termasuk menerusi proses merit.
“Sebanyak 86 peratus yang mohon dan layak untuk melanjutkan pengajian ke matrikulasi adalah yang pelajar memperoleh 9A bagi Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) manakala 14 peratus sahaja 10A.
“Keduanya, bagi maksud merit kita perlu penuhi kerana Matrikulasi (asas) adalah STEM jadi kita bagi keutamaan kepada itu dan kita tidak pernah kata A- ini tak layak atau tak boleh mohon,” ujarnya. – TVS.