KUCHING, 24 Jun: Prestasi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sarawak tahun ini mencatatkan penurunan meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, bagi menangani situasi itu, Jabatan Pendidikan Negeri akan meneliti pelbagai faktor dalaman dan luaran yang mungkin menyumbang kepada kemerosotan pencapaian calon.
“Kami kini juga memberi tumpuan terhadap pendedahan teknik menjawab soalan kepada calon-calon STPM serta memperkukuh latihan kepada guru-guru Tingkatan Enam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 yang berlangsung di Yayasan Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Omar mengakui bahawa kekurangan guru bagi peringkat tingkatan ini masih berlaku.
Namun, katanya, buat masa ini kekangan itu diatasi dengan menempatkan guru-guru daripada aliran perdana bagi mengisi kekosongan sedia ada.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas prestasi beberapa sekolah yang sebelum ini menunjukkan keputusan cemerlang, namun tidak mencapai tahap yang sama pada tahun ini.
“Bagi isu ini, kita juga akan membuat analisis yang lebih mendalam kerana mungkin terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada perubahan tersebut.
“Pelajar-pelajar STPM sebenarnya masih mempunyai peluang untuk memperbaiki keputusan mereka. Kita akan lihat dahulu hasil analisis yang akan dibuat nanti dan akan berkongsi antara faktor utama yang menyebabkan perkara itu berlaku,” ujarnya.