Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pelajar Felicity Ranty Bayang, Sharifah Nur Syuhadah Wan Ibarahim dan Lu Yew How ditemui TVS selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 Peringkat Negeri Sarawak  di Dewan Jamilah Yayasan Sarawak di Kuching pada Selasa. Foto TVS

STPM: 92 pelajar Sarawak capai PNGK terbaik

KUCHING, 24 Jun: Seramai 92 calon STPM 2024 dari Sarawak berjaya mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, menjadikan mereka antara yang terbaik di peringkat negeri dan negara.

Kejayaan tersebut diumumkan dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 Peringkat Negeri Sarawak, yang turut mendedahkan PNGK purata keseluruhan negeri ialah 2.68; sebagai satu pencapaian yang mencerminkan keutuhan sistem pendidikan menengah atas di Sarawak.

Bagi Sharifah Nur Syuhadah Wan Ibarahim, pelajar SMK Tun Abang Haji Openg, Kuching, pencapaian ini merupakan satu anugerah hasil usaha berterusan, disiplin diri serta doa yang tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, saya amat terkejut tetapi bersyukur. Berdasarkan keputusan sebelum ini, saya hanya menyasarkan PNGK sekitar 3.92. Saya tidak menyangka usaha selama ini membuahkan hasil yang luar biasa,” katanya.

Sementara itu, Lu Yew How dari SMK Sacred Heart, Sibu, berkongsi kisah peralihan aliran daripada Sains ke Sastera, keputusan yang menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan akademiknya.

“Saya menyedari minat sebenar saya bukan dalam bidang Sains. Peralihan ke aliran Sastera memberi saya ruang untuk menyerlah dan mendekatkan diri kepada impian menjadi seorang pendidik. Saya bersyukur kerana pilihan itu membawa kejayaan,” ujarnya.

Pelajar SMK Chung Hua, Sibu, Felicity Ranty Bayang turut mencatat keputusan PNGK 4.00, dan menjadikan pencapaian tersebut sebagai pemangkin semangat untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Saya amat gembira kerana dapat bersama rakan-rakan meraikan pencapaian ini. Sasaran seterusnya ialah menyambung pelajaran di IPG dan terus berusaha mengejar cita-cita saya dalam bidang perguruan,” katanya dengan penuh iltizam.

Kejayaan 92 pelajar Sarawak ini menjadi bukti bahawa kecemerlangan bukan hanya ditentukan oleh kebijaksanaan semata-mata, tetapi turut didorong oleh minat, perancangan terarah, serta sokongan padu daripada guru, ibu bapa dan pihak sekolah.

Pencapaian ini juga memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai antara negeri yang terus melahirkan pelajar berprestasi tinggi dalam sistem pendidikan menengah atas negara.  -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan