Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Konvensyen Syariah Kebangsaan Sarawak (KOSKES) hari ini. Foto Aziz Soleh (TVS)

Sistem I-Syariah mantapkan tadbir urus tampuk kehakiman syariah Sarawak

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 24 Jun: Platform digital pintar I-Syariah yang dibangunkan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dengan kerjasama Sarawak Information Systems (SAINS) berfungsi sebagai pusat integrasi sistem maklumat syariah di Sarawak dan merangkumi pelbagai komponen perkhidmatan kehakiman berteraskan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar transformasi teknikal, malah mencerminkan komitmen JKSS dalam mendukung agenda digitalisasi kerajaan negeri.

“Sistem I-Syariah ini turut memperkukuh pelaksanaan e-Government melalui pemerkasaan akses dalam talian, pengurusan kes secara digital serta pengurusan data yang bersepadu dan selamat.

“Lebih penting lagi, langkah ini seiring dengan kerangka Sarawak Digital Economy Blueprint 2030, yang antara lain menggariskan keperluan untuk memperluaskan transformasi digital ke semua sektor termasuk pentadbiran undang-undang dan kehakiman syariah,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Syariah Kebangsaan Sarawak (KOSKES) mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan sistem I-Syariah dilihat sebagai satu batu loncatan penting ke arah penubuhan ekosistem digital yang menyeluruh dan mampan, demi memacu Sarawak ke arah status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Sistem itu katanya, merupakan batu asas penting ke arah mewujudkan e-Government yang inklusif dan berteraskan prinsip Islam, sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“I-Syariah bukan sahaja mempercepat urusan seperti pendaftaran perkahwinan dan pengurusan kes tetapi turut menjadi jambatan digital yang menghubungkan rakyat dengan institusi kehakiman syariah merentas sempadan sama ada di dalam mahupun di luar negara.

“Transformasi yang sedang digerakkan itu adalah seiring dengan kerangka besar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang menetapkan pendigitalan dan penggunaan teknologi pintar sebagai tunjang utama pembangunan Sarawak,” jelasnya lanjut.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi berkata, sistem I-Syariah yang dibangunkan selari dengan Dasar Ekonomi Digital Sarawak, banyak membantu mahkamah dalam kecekapan pengurusan kes Mahkamah Syariah sama ada dari segi pemfailan, pendaftaran kes, prosiding pendengaran kes dan sebagainya.

Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kovensyen Syariah Kebangsaan Sarawak (KOSKES) hari ini. Foto Aziz Soleh (TVS)

Sistem berkenaan juga menurutnya, adalah dijamin selamat dari segi integriti dan ketelusannya.

“Ia banyak membantu, terutamanya dari segi penjimatan masa dan kos. Sebagai contoh, andai kata pihak yang terlibat itu, salah seorangnya berada di luar Kuching, di Lawas contohnya dan hakim pula berada di Kuching, kita boleh uruskan kes seperti itu.

“Dengan adanya sistem I-Syariah ini, segala urusan berkaitan dengan perundangan, pentadbiran kehakiman di Mahkamah Syariah dapat kita jalankan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Kita kena faham dan ingat bahawa kelewatan suatu kes bukan hanya terletak di pihak mahkamah saja. Banyak pihak-pihak lain yang terlibat seperti saksi, pihak peguam, pihak plaintif, defendan dan sebagainya. Semuanya terlibat dalam memastikan suatu kes itu dapat diselesaikan dengan mudah dan lancar.

“Ini bermakna kita tak boleh letakkan sebagai mahkamah saja, jadi banyak pihak yang terlibat secara langsung dalam memastikan bahawa kes yang diuruskan di Mahkamah Syariah dapat diuruskan dengan baik dan cepat,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan tiga Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara JKSS dengan universiti-universiti tempatan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan