SIBU, 24 Jun: Mahkamah Majistret di sini hari ini (Selasa) membebaskan seorang wanita berusia 44 tahun yang sebelum ini ditahan bersama-sama suaminya kerana disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di Sibu yang beroperasi sejak 2015.
Perintah pembebasan itu dikeluarkan oleh Majistret Oon Kork Chern selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat kes, Inspektor Aminur Rizwan Saiful Bahari.
Wanita berkenaan, yang diwakili peguam Darren Ling, direman selama empat hari sejak 20 Jun lalu.
Sementara itu, suaminya yang berumur 52 tahun masih ditahan reman selama tujuh hari dan dijangka dibawa semula ke mahkamah pada Khamis ini (26 Jun) untuk siasatan lanjut.
Pasangan suami isteri tersebut ditahan susulan serbuan besar-besaran oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sibu yang dijalankan pada 12 dan 13 Jun lalu di sekitar kawasan Pusat Komersil Jalan Pedada dan Lorong Permai Jaya.
Serbuan tersebut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM532,934.40, termasuk 7,086.7 gram syabu, 2,078.9 gram ketamin dan 2,022.6 gram pil Erimin 5.
Turut disita ialah wang tunai sebanyak RM5.15 juta, empat jongkong emas, dua rantai emas, dua jam tangan jenama Rolex serta tiga kenderaan mewah, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM8.53 juta.
Siasatan mendapati sindiket itu dipercayai menjalankan operasi pengedaran dadah di kawasan Sibu sejak hampir 10 tahun lalu dan pasangan terbabit dikenal pasti sebagai penggerak utama kegiatan tersebut. -TVS