TELUPID, 24 Jun: Sebuah rumah separuh kekal di Kampung Entilibon musnah hampir keseluruhan dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan pada jam 2.39 pagi dan tiba di lokasi sejauh 135 kilometer pada jam 4.52 pagi.
“Setibanya pasukan bomba, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 30×40 kaki persegi yang telah terbakar 90 peratus,” kata Komander Operasi, PBK I Jasmani bin Osni.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan Hose Reel dengan sumber air dari jentera bomba, dan kebakaran berjaya dikawal sekitar jam 5.00 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.35 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Turut membantu di lokasi ialah anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Difahamkan tiada sistem hidran awam tersedia di kawasan kejadian. -TVS