MUKAH, 24 Jun: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas jatuh sungai di Kampung Sungai Alo di sini semalam, diteruskan hari ini.
Komander Operasi, Dura Batta berkata, SAR hari kedua dimulakan pada jam 8 pagi tadi melibatkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah.
“Ketua Polis IPD Mukah memberikan taklimat kepada semua agensi terlibat dan membahagikan kepada beberapa bahagian tempat operasi pencarian dilakukan.
“Turut terlibat dalam SAR ini ialah pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan orang awam,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.22 pagi semalam, BBP Mukah menerima laporan daripada IPD Mukah memaklumkan terdapat seorang lelaki, Mazwan Morsidi berusia 35 tahun dipercayai telah terjatuh ke dalam sungai Alo.
Pihak polis memohon bantuan dari BBP Mukah untuk membuat pencarian di kawasan tersebut.-TVS