KUCHING, 24 Jun: Pendekatan penguatkuasaan bersepadu merentas agensi di bawah pelaksanaan Operasi Tiris 3.0 (Ops Tiris 3.0) terus menunjukkan keberkesanan dengan sebanyak 128 kes penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan berjaya dikesan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, melibatkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM1.18 juta.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata jumlah tersebut mencerminkan iltizam dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membanteras penyelewengan subsidi, terutamanya di kawasan sempadan negeri yang berisiko tinggi.
Menurut beliau, pelaksanaan penguatkuasaan secara berkala di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu yang dimulakan sejak April 2025 turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kawalan ke atas pergerakan barang kawalan bersubsidi di antara Malaysia dan Indonesia.
“KPDN Sarawak telah bekerjasama rapat dengan pihak ICQS Tebedu untuk menempatkan pegawai empat hari seminggu bagi menjalankan pemantauan ke atas kenderaan perdagangan dan persendirian.
“Langkah ini bertujuan mengekang penyelewengan serta penyeludupan barang kawalan ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dr Fuziah menghadiri sesi libat urus dan lawatan kerja ke ICQS Tebedu pada Isnin, yang turut melibatkan sesi taklimat bersama pegawai imigresen dan kastam berhubung operasi harian di pintu masuk utama Malaysia-Indonesia itu.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tiris 3.0 di bawah inisiatif “Kita Gempur”, beliau turut meninjau operasi sebuah premis pemborong Gula, Minyak Masak dan Tepung (GMT) di Serian.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Fuziah memaklumkan bahawa KPDN turut melaksanakan operasi risikan dan pemeriksaan berkala ke atas stesen minyak berhampiran kawasan sempadan bagi memastikan tiada unsur penyelewengan bahan api bersubsidi.
“KPDN turut menjalankan risikan dan pemeriksaan berkala terhadap stesen minyak berhampiran sempadan selain menjalin kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM),” katanya.
“Kerajaan MADANI terus komited mengutamakan pendekatan ‘Whole Nation Approach’ yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk pengguna dalam memerangi penyelewengan subsidi,” katanya. -TVS