SARATOK, 24 Jun: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak meneruskan komitmen dalam memperkukuh perpaduan masyarakat melalui penganjuran Program Semarak Perpaduan Komuniti Keselamatan yang berlangsung di Rumah Salat Anak Dunggaw, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Munggu Sibau, pada Sabtu.
Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh MKN Negeri Sarawak, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Betong serta KRT Munggu Sibau, sebagai satu usaha merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Ketua Penolong Pengarah MKN Negeri Sarawak, Wazi Seman dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini.
“MKN Negeri Sarawak amat berharap kerjasama yang erat di antara agensi dan komuniti setempat dapat menyemarakkan lagi perpaduan di antara masyarakat setempat sekaligus memantapkan peranan komuniti dalam bersama-sama menjaga keselamatan negara,” katanya dalam majlis berkenaan.
Menurutnya lagi, tujuan utama program itu adalah untuk menjalinkan kerjasama dan menyemarakkan perpaduan di kalangan agensi dan masyarakat setempat.
Antara pengisian program ialah aktiviti senamrobik, Unity plogging (gotong-royong perpaduan) 10,000 langkah serta Unity Sports (Sukan Perpaduan) dan pertandingan mewarna bagi kategori kanak-kanak dan warga emas.
Pada sebelah malamnya, program diteruskan dengan Program Gerak Rahmah: Ngiling Tikai Gawai KRT Daerah Saratok anjuran bersama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Betong, MKN Sarawak serta KRT Munggu Sibau.
Pengisian sebelah malamya diserikan dengan upacara Miring, Nagajat Ngelalu Ka Temuai, Persembahan daripada Djaksa Band MKN Sarawak, Pekit Kumang/ Keling Jiran Muda Daerah Saratok serta Simbolik Ngiling Ka Tikai dengan memotong kek oleh para tetamu jemputan.
Majlis dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Krian, Friday Belik, mewakili Pengarah JPNIN Negeri Sarawak, Thompson Ted, Tuai Rumah Salat Ak Dunggaw, Penghulu Isa Anak Geng, serta KMKK dan kaunselor-kaunselor dari Daerah Saratok.-TVS