KOTA SAMARAHAN, 24 Jun: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Dato Mohd Musa, berhampiran sebuah kilang di sini, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
JPBM menerima panggilan kecemasan pada 3.32 petang.
Nahas itu melibatkan sebuah lori membawa barangan perkakasan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga sekeluarga.
“Tiga mangsa dalam kereta pacuan empat roda iaitu dua dewasa dan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan,” menurut kenyataan JBPM.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan yang diketuai PBK II Lydia Mohd Sarkawi tiba di lokasi pada jam 3.55 petang, sebelum mengesahkan terdapat seorang mangsa tersepit di dalam lori.
“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan penyelamatan (RTA) untuk mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya.
Operasi turut disertai lapan anggota bomba bersama sebuah jentera FRT dan EMRS. Turut membantu di lokasi ialah dua anggota polis dari IPD Samarahan serta pasukan ambulans KKM. -TVS