BARIO, 24 Jun: Projek menaik taraf landasan Padang Terbang (STOLport) Bario dijangka meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi, sekali gus membolehkan pesawat Twin Otter membawa kapasiti penuh 19 penumpang berbanding sembilan ketika ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kerja naik taraf termasuk pemanjangan dan penurapan semula landasan membolehkan pesawat beroperasi pada kapasiti maksimum mengikut piawaian keselamatan ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“STOLport Bario memainkan peranan penting sebagai nadi pengangkutan ke pedalaman yang tiada akses jalan darat. Maka, keselamatan dan kecekapan operasinya mesti dipertingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan Kementerian Pengangkutan Sarawak selepas meninjau tapak projek tersebut.
Setakat Mei, kemajuan projek mencapai 30.46 peratus, mengatasi jadual asal. Projek dijangka siap Mac 2026 dengan kos lebih RM20 juta dibiayai Kerajaan Persekutuan.
Projek turut merangkumi pembinaan clearway, pagar keselamatan, pemasangan AWS, pembaikan terminal dan cadangan pembinaan sambungan apron baharu.
Kim Shin turut mencadangkan penambahan penerbangan pada musim perayaan serta peruntukan tambahan untuk kemudahan pengguna.
Beliau menghargai peranan JKR Sarawak, CAAM, MAHB dan semua pihak terlibat dalam menjayakan projek ini.