PUTRAJAYA, 24 Jun: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menyerang Gaza dan Iran yang telah mengorbankan orang awam, termasuk pemimpin tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dizahirkan menerusi perbualan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bagi mendapatkan perkembangan terkini konflik membabitkan Iran dan rejim Israel.
Menerusi perbualan telefon itu, Anwar berkata, Presiden Masoud memaklumkan bahawa Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian, dengan syarat Israel menghentikan serangan ke atas wilayah kedaulatan Palestin dan Iran.
“Beliau turut meminta saya menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah, selain memahami konteks sebenar tindakan balas Iran,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan penyelesaian, namun mengakui hak Iran untuk bertindak balas sekiranya kedaulatannya dicabuli.
“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi pada masa sama menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri.
“Malaysia juga menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dihormati,” katanya.
Tambahnya, Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai bagi mengelakkan konflik berlarutan yang akan terus mengorbankan nyawa tidak berdosa. – TVS