BUTTERWORTH, 24 Jun: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan mencuri kereta bapa mangsa Jumaat lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Jaafar Sidek Darus, 63, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menculik mangsa tersebut daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang iaitu ibu mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bengkel kereta di Jalan Penaga, Kepala Batas dekat sini kira-kira pukul 5.30 petang pada 20 Jun lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melarikan sebuah kereta jenis Toyota Corolla berwarna coklat milik seorang lelaki pada waktu dan tempat yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara setahun hingga tujuh tahun dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Marissa Safina Saiful Adli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding, tertuduh beberapa kali menukar pengakuan selepas pertuduhan dibacakan menyebabkan mahkamah terpaksa meneliti kestabilan mentalnya sementara kes akan disebut semula 3 Julai depan.
Media baru-baru ini melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU) bisu berusia 12 tahun berdepan detik cemas apabila dilarikan seorang lelaki bersama kereta milik bapanya di hadapan sebuah bengkel kereta di Penaga, Kepala Batas.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Anuar Abd Rahman, suspek yang memiliki 18 rekod lampau termasuk 11 kes dadah itu melarikan kereta berkenaan semasa ibu mangsa meninggalkannya dalam keadaan enjin kereta masih hidup untuk menghantar minyak hitam ke bengkel milik suaminya itu.
Mangsa dikatakan dibawa sejauh kira-kira 10 kilometer sehingga ke Bagan Lalang di sini sebelum ibu mangsa berjaya menjejak lokasinya menggunakan aplikasi penjejak keluarga, Life360 di telefon pintar. – TVS