SARIKEI, 24 Jun: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru agar memainkan peranan lebih aktif sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan di kawasan kampung berjalan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata pemantauan yang rapi daripada pemimpin akar umbi sangat penting bagi memastikan projek yang diluluskan tidak terbengkalai, bermasalah atau menyimpang daripada perancangan asal.
“Jika terdapat kelewatan atau pelaksanaan projek yang meragukan, KMKK perlu segera melaporkan perkara itu kepada agensi atau pihak berkuasa berkaitan.
“Langkah ini penting bagi memastikan integriti projek terpelihara, termasuk dari aspek jadual pelaksanaan, peruntukan bajet serta spesifikasi teknikal yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Modal Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 1 Siri 17 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Penasihat di Pejabat Premier Sarawak bagi portfolio Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menegaskan, nilai integriti mesti menjadi tunjang dalam setiap lapisan kepimpinan masyarakat.
“KMKK bukan sahaja berperanan sebagai pemantau projek semata-mata, malah perlu menjadi ikon dan teladan kepada generasi muda dan seluruh masyarakat.
“Pemimpin yang berintegriti adalah mereka yang memiliki prinsip moral yang tinggi, berpegang pada janji dan sentiasa melakukan perkara yang betul walaupun tanpa pengawasan,” ujarnya.
Menurutnya, konsep kepimpinan berintegriti mampu meninggalkan kesan positif yang berkekalan serta menjamin tadbir urus komuniti yang lebih teratur, efisien dan bebas daripada isu yang berkaitan.
Sehubungan itu, beliau berharap program itu dapat memberi pendedahan serta ilmu berguna kepada semua peserta agar nilai integriti dapat dipraktikkan dalam tugasan harian sebagai pemimpin masyarakat.
“Saya yakin, melalui pelaksanaan kursus seperti ini, kita dapat memperkukuhkan lagi struktur kepimpinan akar umbi yang bertanggungjawab dan dipercayai,” katanya. – TVS