KUCHING, 24 Jun: Jumlah kes perceraian pasangan suami isteri di Sarawak pada tahun ini menunjukkan trend peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Perkara itu didedahkan Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi yang menurutnya, masih lagi dalam keadaan terkawal.
“Trend yang setakat ini menaik sedikit, tidaklah begitu drastik. Alhamdulillah masih dapat terkawal lagi.
“Kadang-kadang kita tidak dapat mengelakkan perceraian ini, dengan erti kata lain bahawa berbagai masalah atau isu yang boleh menyebabkan berlakunya perceraian di mahkamah dan selepas perceraian, ada kes-kes lain yang akan berbangkit daripada kes cerai.
“Antaranya kes nafkah anak, kes hak jagaan anak, harta sepencarian, kemudian melangkah edah dan sebagainya. Itu berbangkit daripada berlakunya perceraian di antara pasangan suami isteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Konvensyen Syariah Kebangsaan Sarawak (KOSKES) di Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Selain itu, Awg Suhaili turut mengulas mengenai konflik akidah berkenaan pertukaran agama yang dikhuatiri mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang agama di Sarawak.
Beliau menjelaskan kes-kes sedemikian diuruskan mengikut peruntukan perundangan yang ditetapkan.
“Kita ada Kaedah-Kaedah Pengisytiharan Status Agama 2018 yang digunakan untuk mahkamah menerima pemfailan dan menguruskan kes itu. Undang-undang yang kita gunakan untuk mengendalikan kes-kes berkaitan dengan perisytiharan status agama.
“Kaedah tersebut antara lain menetapkan pihak yang boleh memohon kes di Mahkamah Syariah, kemudian apabila dimohon ke Mahkamah Syariah, hakim akan mengarahkan pihak tadi untuk pergi ke Jawatankuasa Akidah dan sebagainya dan apabila telah cukup tempoh yang ditetapkan oleh pihak mahkamah, barulah ia akan dibawa balik ke mahkamah dan dibicarakan dan sebagainya, mengikut Kaedah-Kaedah Pengisytiharan Status Agama 2018 sebelum pihak Mahkamah Syariah membuat keputusan sama ada permohonan tadi dibenarkan ataupun ditolak.
“Kadang-kadang ada kes-kes yang dipohon ke mahkamah adalah kerana alasan teknikal. Teknikal maksudnya daripada mula sebenarnya dari segi keislaman dia tak berapa mengikut undang-undang dan sebagainya,” jelasnya lanjut.
Tambah beliau, kes-kes sedemikian di Sarawak masih dalam keadaan terkawal. -TVS