KUCHING, 24 Jun: Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMeS) akan dijadikan acara tahunan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) sebagai platform memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan warga media di negeri ini, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata penganjuran KASUMeS bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah mengukuhkan jalinan kerjasama profesional antara media dan kerajaan.
“Program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ini akan diteruskan setiap tahun mengikut zon iaitu Kuching, Sibu dan Miri, dengan penganjuran melibatkan beberapa acara sukan seperti pickleball, badminton dan futsal,” katanya ketika merasmikan KASUMeS 2025 di gelanggang Pickleball MUSC Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pihaknya turut merancang untuk memperluaskan pengisian karnival dengan memasukkan aktiviti luar dan lasak pada edisi akan datang.
“Kita dalam kalangan pengamal media biasanya hanya bertemu di majlis rasmi atau sidang media. Program seperti ini beri ruang untuk kita berkumpul secara santai dan mengeratkan silaturahim.
“Selepas ini mungkin kita boleh anjurkan aktiviti mendaki gunung, masuk hutan atau lawatan ke tempat yang menarik tetapi sukar diakses seperti Bakun atau Mulu yang merupakan Tapak Warisan Dunia,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar setiap agensi media menubuhkan pasukan sukan rasmi masing-masing, selain mewujudkan jawatankuasa kecil yang terdiri daripada wakil media bagi membantu UKAS menyelaras penganjuran pada masa akan datang.
Dalam masa sama, Abdullah menyeru warga media agar terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam menyalurkan maklumat secara tepat, bertanggungjawab dan beretika kepada rakyat.
“Saya harap warga media terus menyokong usaha kerajaan dalam menyampaikan dasar serta agenda Premier Sarawak kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.