KOTA SAMARAHAN, 24 Jun: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan komited memperkasa tahap kecergasan fizikal warga kerjanya dengan pelaksanaan ujian larian sejauh 2.4 kilometer baru-baru ini.
Program yang berlangsung di perkarangan Kompleks IPD Kota Samarahan itu menetapkan masa larian selaras dengan penekanan terhadap aspek kesihatan dalam perkhidmatan melibatkan penyertaan pegawai serta anggota pelbagai peringkat.
Turut hadir, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah merangkap Penyelaras Program, ASP Marcel Irenius Mustari bersama ketua-ketua bahagian, ketua polis balai, pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam IPD Kota Samarahan.
Aktiviti dimulakan dengan sesi senaman pemanasan badan sebelum diteruskan dengan larian sejauh 2.4 kilometer yang bermula dari padang kawad dan mengelilingi kompleks IPD.
Catatan masa larian kemudiannya akan dimuat naik ke dalam Sistem HRMIS bagi tujuan pengemaskinian maklumat MyData Perkhidmatan.-TVS