KUCHING, 24 Jun: Segmen Info Fun With UKAS di bawah Program Outreach Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menjadi platform penting dalam mengetengahkan suara dan aspirasi golongan belia, khususnya pelajar kepada kepimpinan tertinggi Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata pendekatan pembelajaran generasi muda hari ini jauh berbeza berbanding dahulu, dengan keperluan serta kecenderungan baharu yang perlu diberi perhatian serius.
Sehubungan itu, katanya, penganjuran program berkenaan adalah antara usaha kerajaan untuk mendengar secara langsung pandangan dan keperluan golongan muda, seterusnya membantu merangka penyelesaian yang lebih relevan dan berkesan.
“Usaha Kerajaan Sarawak bukan sahaja daripada atas ke bawah, bukannya hanya kerajaan yang mengatur polisi tetapi kami di peringkat kerajaan juga mahu mendengar daripada anda termasuk keperluan masa hadapan belia di Sarawak supaya pemimpin sekarang dapat menstruktur atau membuat formula yang lebih efisien, yang lebih tepat mengikut ‘selera’ generasi yang akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan Info Fun With UKAS di sini, hari ini.
Selain memperkasa suara anak muda, Abdullah menegaskan bahawa platform berkenaan turut berperanan sebagai medium untuk menyampaikan inisiatif kerajaan kepada golongan belia, selain mengumpul maklum balas khususnya berkaitan sektor pendidikan.
“Segala permintaan ataupun suara kalian sekarang akan kami rekodkan dan akan diutarakan kepada pemimpin di atas.
“Amat penting untuk belia dan pelajar hari ini berkongsikan wawasan, impian mahupun keresahan dan kegelisahan semua warga pelajar di mana jua mereka berada di seluruh Sarawak,” katanya.