KOTA SAMARAHAN, 24 Jun: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah mengadakan lawatan kerja ke PUSPAKOM di sini, bagi meninjau secara dekat pengoperasian pusat pemeriksaan tersebut pada Isnin.
Menurut kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, lawatan ini bertujuan untuk menilai tahap keberkesanan perkhidmatan yang disediakan serta mencadangkan penambahbaikan yang relevan demi memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan yang berkualiti, telus dan cekap.
Sepanjang lawatan, beliau diberikan taklimat ringkas mengenai operasi dan fungsi PUSPAKOM Kota Samarahan yang telah disampaikan oleh Thomson Jutis.
Taklimat ini merangkumi aspek teknikal pemeriksaan kenderaan, sistem pengurusan pelanggan serta cabaran-cabaran yang dihadapi dalam memastikan pematuhan standard keselamatan kenderaan.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili, Ketua Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ, Ahmad Abdul Hadi Hamzah serta pegawai-pegawai kanan JPJ Sarawak.-TVS