KUCHING, 24 Jun: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni menyambut baik cadangan awal yang dikemukakan oleh Environmental Defense Fund (EDF) dan Swinburne University of Technology Kampus Sarawak bagi menangani pelepasan metana dalam sektor minyak dan gas serta memperkasa penyahkarbonan sektor maritim di negeri ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan dan memerlukan penyerahan rasmi dokumen bertulis sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.
“Pendekatan yang dicadangkan perlu berasaskan data dan praktikal, selain memerlukan penyelarasan erat antara agensi kerajaan untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Delegasi EDF diketuai Pengarah Kanan Peralihan Tenaga Global, Dr Shareen Yawanarajah manakala Swinburne Sarawak diwakili Profesor Ir Dr Basil Wong.
Cadangan tersebut dibentangkan semasa kunjungan hormat ke pejabat Timbalan Menteri, yang turut menzahirkan komitmen untuk meneruskan dialog dengan pihak berkaitan.
Menurutnya, dokumen cadangan rasmi akan menjadi asas kepada proses mengenal pasti agensi negeri yang relevan bagi meneruskan perbincangan dan pelaksanaan.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar dan penyahkarbonan, selari dengan matlamat iklim global dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID Sarawak 2030,” katanya.