Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang bekas pengetua dipenjara 107 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah atas 13 pertuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya. Foto, TVS.

Bekas pengetua dipenjara 107 tahun kesalahan rogol,amang seksual pelajar

KUALA TERENGGANU, 24 Jun: Seorang bekas pengetua dipenjara 107 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah atas 13 pertuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli memutuskan hukuman berkenaan terhadap Rosli Abd Rahman, 60, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Rosli didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun lapan bulan.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sini dan Marang antara November 2020 hingga November 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.

Dia turut didakwa membabitkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (1) (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) (a) dan lima tahun penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(a), 14(c) dan 14(d) AKSTKK 2017.

Bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2)(f), tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.

Semua hukuman penjara itu bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara selama 15 tahun selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan hukuman tertuduh sementara menunggu rayuan dan jaminan dinaikkan sebanyak RM40,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam,Abdul Rahman Razak. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan