KUCHING, 24 Jun: Sekolah Kebangsaan (SK) Song Kheng Hai melakar sejarah tersendiri apabila bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa, ASEAN My Cyber Hero 2025 yang dijadual berlangsung pada 1 Julai ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Buat julung kalinya, sekolah tersebut melangkah ke pentas antarabangsa setelah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 pasukan terbaik dalam kategori Rookie, yang akan berentap dengan pasukan dari negara ASEAN lain.
Menurut Penolong Kanan Pentadbiran SK Song Kheng Hai, Liew Yik Chien, kejayaan itu amat mengejutkan memandangkan persaingan di peringkat kebangsaan sangat mencabar dengan penyertaan seramai 3,132 murid dari seluruh negara.
“Kami tidak menyangka berjaya melayakkan diri ke persada antarabangsa kerana dimaklumkan bahawa persaingan Kuiz Rookie Cyber Hero peringkat kebangsaan yang berlangsung pada bulan lalu sangat sengit dan mencabar.
“Justeru, meletakkan diri dalam pasukan 10 terbaik dan mara ke peringkat seterusnya menjadi satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.

Pasukan yang dikenali sebagai Firewall Guardians terdiri daripada tiga murid Tahun 5 iaitu Nur Qiesya Yuzrina Mohammad Yuzairul selaku ketua pasukan, bersama Ariana Aqisya Mohd Hafizzie dan Carlina Kasih Grace yang dibimbing oleh Lau Ung Hua.
“Penyertaan ini bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah membuka peluang kepada murid untuk menimba pengalaman berharga di peringkat global.
“Dalam masa yang sama, mendorong pelibatan murid dalam bidang sains komputer, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kemahiran abad ke-21,” ujarnya.
Mengenai persiapan pasukan menjelang cabaran besar itu, pihak sekolah menyatakan komitmen untuk memberikan yang terbaik demi mengharumkan nama Sarawak di pentas berprestij antarabangsa.
Selain SK Song Kheng Hai, tiga lagi sekolah rendah dari Sarawak turut melangkah ke peringkat akhir pertandingan kategori Rookie dua pasukan dari SK St David Bumbok dan satu pasukan dari SJKC Chung Hua Krokop.
Bagi kategori Star pula, Sarawak turut diwakili oleh SMK Tinggi Sarikei, yang berjaya menempatkan diri dalam 10 pasukan terbaik peringkat kebangsaan.
Pertandingan ASEAN My Cyber Hero 2025, anjuran Microconcept Tech dan Agensi Keselamatan Siber Negara, bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan murid secara kreatif dan inovatif.
Para peserta berpeluang menangani isu buli siber, penipuan dalam talian, dan maklumat palsu dengan mencipta watak wira siber unik.
Untuk rekod, program ini juga mengasah literasi digital, pemikiran kritis, dan kemahiran komunikasi bagi memperkukuh pendidikan keselamatan siber di sekolah. – TVS