BEKAS Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyifatkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai pemimpin yang amat menekankan pembangunan modal insan melalui pendidikan.
Menurut beliau, inisiatif Premier dalam memperkukuh sistem pendidikan, khususnya penekanan terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), bertujuan memajukan rakyat dan memastikan Sarawak tidak ketinggalan dalam arus kemodenan.
“Beliau seorang pemimpin yang prihatin terhadap rakyat, mudah didekati dan sentiasa mendengar suara hati mereka. Beliau sanggup menjelajah ke seluruh pelosok negeri termasuk kawasan pedalaman demi memastikan infrastruktur asas disediakan untuk kesejahteraan rakyat.
“Malah, beliau turut ke luar negara untuk menimba ilmu dan menyesuaikannya demi manfaat pembangunan negeri,” katanya dalam temu bual khas sempena sambutan Hari Sarawak yang bakal disambut pada 22 Julai.
Jabu turut menekankan bahawa lawatan ke luar negara Premier bukan sahaja bertujuan menimba ilmu, malah berjaya menarik minat pelabur asing untuk melabur di Sarawak dan membuka peluang ekonomi baharu.
Justeru, beliau menyeru para ibu bapa agar menghantar anak-anak ke sekolah dan menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi, terutamanya dengan wujudnya pendidikan percuma di universiti milik kerajaan Sarawak menjelang 2026.
“Sarawak telah membuka peluang pendidikan seluas-luasnya. Anak-anak kita mesti bijak merebut peluang yang disediakan kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jabu turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas penurunan kuasa kepada Kerajaan Sarawak untuk merancang, melaksana dan memantau sendiri projek pembangunan di negeri ini.
“Dahulu, kita terikat dengan Kerajaan Persekutuan dari segi peruntukan untuk membina kemudahan asas.
“Jika projek tertangguh, ia perlu ditender semula dan ini menyebabkan pembaziran dan kelewatan. Justeru, Sarawak mencadangkan agar diberikan kuasa untuk melaksanakan sendiri projek di negeri ini dan kini ia terbukti berjaya,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Jabu menyifatkan kepimpinan Abang Johari sebagai berwawasan, fokus terhadap pembangunan dan mempunyai sistem pentadbiran yang cekap.
“Saya berdoa agar Premier Sarawak sentiasa diberi kesihatan yang baik dan umur yang panjang untuk terus memacu Sarawak ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.