KUCHING, 24 Jun: Sebanyak 30 peratus kawasan Sarawak kini diwartakan sebagai kawasan tadahan air, sekali gus memperkukuh pengurusan sumber air secara lestari di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata pewartaan itu melibatkan 28 kawasan merangkumi empat juta hektar tanah, yang menjadi asas penting bagi memastikan kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat Sarawak.
“Langkah ini membolehkan kita melaksanakan pengurusan air secara lebih berkesan, bermula dari punca dengan memelihara ekosistem semula jadi yang menjadi sumber utama air mentah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada forum Regional Partnerships – Tapping Southeast Asia’s Water Market di Singapura pada Isnin.
Katanya, pewartaan kawasan tadahan air ini juga membuka peluang kepada Sarawak untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan negara-negara lain yang turut berdepan cabaran dalam pengurusan sumber air bersih.
“Ini juga sejajar dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pendekatan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi panduan global,” ujarnya.