KUCHING, 23 Jun: Seorang penagih dadah lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana memiliki pistol tiruan, dalam kejadian yang tular di media sosial Facebook — sebuah video berdurasi sembilan saat menunjukkan tertuduh mengeluarkan sebelah tangannya memegang sepucuk pistol sambil memandu kereta, Khamis lalu (19 Jun).
Mohammad Afif, 22, yang bekerja sebagai penjual baju atas talian, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua majistret berasingan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan, iaitu sepucuk pistol.
Dia memiliki senjata tiruan itu di persimpangan Jalan Keretapi sekitar jam 1.00 tengah hari, 19 Jun lepas.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman penjara tiga hari terhadap Mohammad Afif, berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan fakta kes, sekitar jam 4.30 petang pada 19 Jun lepas, pengadu yang merupakan anggota polis menonton satu hantaran di laman Facebook oleh pemilik akaun bernama ‘Borneo’, yang memaparkan video berdurasi sembilan saat menunjukkan aksi tertuduh.
Tertuduh dilihat memegang sepucuk pistol dan mengeluarkan tangannya ke luar tingkap kereta jenis Proton Persona yang dipandunya.
Laporan polis dibuat oleh pengadu untuk siasatan lanjut, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari sama sekitar jam 6.30 petang di Taman Sukma, Jalan Sultan Tengah.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh telah menunjukkan sepucuk pistol tiruan kepada orang awam bagi tujuan menakut-nakutkan sebuah kereta yang mengikut rapat di belakang keretanya.
Punca kejadian adalah kerana tertuduh marah dan tidak puas hati terhadap kereta tersebut yang enggan memberi laluan serta sangat hampir dengan keretanya.
Kejadian itu dirakam oleh orang awam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, dia turut didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama kerana mengambil dadah terlarang jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Dia melakukan kesalahan itu ketika ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching sekitar jam 3.50 petang, 18 Mei 2021.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara tiga bulan terhadap tertuduh.
Mohammad Afif juga diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua pegawai pendakwa, iaitu ASP Arman Ibrahim dan Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin. -TVS