KUCHING, 23 Jun: Sarawak giat memanfaatkan teknologi pintar bagi melonjakkan kecekapan pengurusan sistem bekalan air sekali gus mengurangkan kadar air tidak berhasil.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata pendekatan itu seiring usaha pendigitalan sektor utiliti negeri dalam memastikan perkhidmatan lebih efisien, cekap dan lestari.
“Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah penggunaan sistem kawalan berpusat SCADA, meter pintar, aplikasi Internet Kebendaan (IoT) untuk mengesan kebocoran, serta pelbagai teknologi terkini lain yang menyokong peningkatan mutu perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi Regional Synergy in Tackling Shared Water Challenges sempena forum Regional Partnerships – Tapping Southeast Asia’s Water Market di Singapura, hari ini.
Julaihi berkata, transformasi digital itu dilaksana secara berperingkat bagi menyokong Pelan Induk Bekalan Air dan pembangunan Sistem Grid Air Sarawak.
Jelasnya, transformasi itu juga bertujuan menangani cabaran utama sektor air termasuk infrastruktur terasing, liputan yang belum menyeluruh serta ketirisan air tinggi akibat kebocoran paip dan penggunaan tidak sah.
“Teknologi moden bukan sahaja mempercepat pemantauan dan pengesanan masalah, malah meningkatkan kecekapan respon terhadap gangguan bekalan.
“Ini penting memandangkan Sarawak menyasarkan liputan bekalan air bersih sepenuhnya menjelang tahun 2030,” katanya.