KUCHING, 23 Jun: Orang ramai daripada pelbagai latar belakang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang di Masjid Jamek, Petra Jaya, bermula jam 10 pagi hari ini.
Kenderaan khas yang membawa jenazah Allahyarhamah tiba di pekarangan masjid sekitar jam 10.13 pagi, diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama dua anak mereka.

Keranda yang membawa jenazah kemudian diusung oleh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia dan ditempatkan di pentas khas di tengah ruang solat masjid bagi membolehkan orang kenamaan dan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.
Suasana hiba menyelubungi Masjid Jamek, menyaksikan Abang Johari tidak dapat menahan sebak atas pemergian isteri tercinta.
Antara pemimpin tempatan yang hadir ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama isteri masing-masing.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menziarahi kediaman rasmi Premier Sarawak sekitar jam 8.50 pagi bagi menzahirkan penghormatan terakhir.