KUCHING, 22 Jun: Sarawak bakal menjadi pangkalan utama kepada pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab tenaga strategik rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam masa terdekat bagi membincangkan strategi kerjasama dua hala yang berkaitan dengan projek tenaga serantau tersebut.
“Saya dah maklumkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa tajuk utama perbincangan dengan Presiden Prabowo Subianto ialah mengenai Grid Kuasa ASEAN yang berpangkalan di Sarawak untuk manfaat kedua-dua pihak,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Menurut Anwar, kekuatan Sarawak dalam sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, gas dan hidrogen biru meletakkan negeri itu dalam kedudukan strategik untuk menyumbang kepada jaringan tenaga merentas negara ASEAN.
“Rancangan dari Sarawak, dengan kekuatan hidro, gas dan hidrogen biru untuk menerobos bukan sahaja dari Sarawak ke Sabah, ke Kalimantan Indonesia, bahkan sehingga ke selatan Filipina,” ujarnya.
Menurut Anwar, inisiatif Grid Kuasa ASEAN merupakan sebahagian daripada teras utama kerjasama tenaga serantau yang digariskan dalam Deklarasi Kuala Lumpur 2045, dengan objektif untuk mempercepatkan peralihan tenaga dan menjamin kestabilan bekalan elektrik antara negara-negara ASEAN.
“Di antara strategi dan teras utama ASEAN ialah Grid Kuasa ASEAN. Ketersambungan dan digitalisasi adalah di antara dua selain dalam beberapa perkara yang ditekankan,” ujarnya lagi.
Beliau turut mendedahkan bahawa cadangan pembinaan kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia, Singapura dan Batam sedang dikaji sebagai sebahagian pelan perluasan sambungan tenaga serantau.
Sehubungan itu, Anwar memuji kekuatan suku-suku kaum di Sarawak, yang disifatkan sebagai teras kepada kejayaan dan kestabilan negara.
“Inilah rahsia kejayaan kita, rakyat di Sarawak harus pertahankan ini untuk menjamin keselamatan Sarawak dan Malaysia,” tegas beliau. – TVS