KUCHING, 23 Jun: Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tuanku Bujang merupakan seorang wanita yang tenang namun berpengaruh, sentiasa berdiri teguh di sisi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan sokongan dalam diam yang penuh kekuatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Menurutnya, Sarawak kehilangan seorang tokoh wanita disegani dengan pemergian beliau yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Normah, Kuching awal pagi tadi.
“Di sebalik kejayaan besar seorang pemimpin, berdirilah seorang isteri yang cekal dan setia, yang memainkan peranan besar dalam membentuk kekuatan keluarga serta menyumbang kepada keharmonian masyarakat,” ujar beliau.
Nancy turut menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar buat negeri Sarawak, khususnya kerana sifat keibuan, ketokohan dan kelembutan yang dimiliki oleh Allahyarhamah, yang dikenang bukan sahaja oleh keluarga terdekat tetapi juga oleh rakyat yang pernah merasai sentuhannya.
“Sifat keibuan, ketokohan dan kelembutan beliau dikenang bukan hanya dalam lingkungan keluarga, tetapi juga oleh rakyat yang pernah menerima sentuhannya secara langsung atau tidak langsung,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak dan seluruh keluarga Allahyarhamah.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada Premier Sarawak serta seluruh keluarga besar Allahyarhamah. Semoga dikurniakan kekuatan menghadapi detik-detik sukar ini,” katanya lagi.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.34 pagi tadi pada usia 76 tahun. – TVS