KUCHING, 23 Jun: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 melabuhkan tirai malam tadi selepas tiga hari menggamatkan Kampung Budaya Sarawak, bermula Jumaat lalu.
Acara dimulakan seawal jam 6 petang dengan upacara tradisional miring, diikuti persembahan pembukaan oleh kumpulan Malaysia Buddha Beat bersama Sinaran Collective pada jam 6.15 petang.
Persembahan seterusnya menyaksikan kemunculan artis antarabangsa dan tempatan seperti Manhu (China), Tal Fry (India), Buluh Berkocak (Sarawak), La Chiva Gantiva (Colombia & Belgium), N’Famady Kouyate (Guinea & UK), serta At Adau (Sarawak).
Kemuncak malam terakhir menyaksikan semua artis yang terlibat kembali ke pentas utama untuk menghiburkan penonton buat kali terakhir bagi edisi kali ini. Persembahan penutup yang penuh warna-warni.
Meskipun hujan, ia tidak mematahkan semangat ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara yang terus bersorak dan menari bersama artis kegemaran mereka.
Pada penghujung acara, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengumumkan menerusi skrin LED bahawa edisi seterusnya RWMF akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2026.
Dengan tema “Connections: One Earth, One Love”, festival edisi ke-28 ini bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga menghubungkan komuniti melalui bengkel interaktif yang melibatkan artis dan peminat.
Pelbagai aktiviti sampingan turut memeriahkan festival seperti bengkel usahawan tempatan, jualan makanan dan minuman, perkhidmatan mencacah tatu, urutan tradisional, serta jualan kraftangan dan pakaian.
Keseluruhannya, RWMF terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah festival budaya dan muzik yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh dunia. – TVS