MIRI, 23 Jun: Pelancaran rasmi Ruang Daya Cipta (RDC) di Pustaka Negeri Sarawak Miri menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasakan komuniti menerusi kreativiti, inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat.
Majlis turut diserikan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pustaka Negeri Sarawak dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik bagi pembangunan inovasi akar umbi dan pemerkasaan komuniti luar bandar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Miri, Wan Mazli Wan Razali berkata, ruang tersebut memainkan peranan besar sebagai ekosistem pembelajaran terbuka yang inklusif dan progresif, menyokong pelbagai aktiviti seperti Internet of Things (IoT), robotik, kejuruteraan ringan, kraf kreatif dan teknologi cetakan 3D.
“Pelancaran ruang ini selaras dengan matlamat Pustaka sebagai pusat perkembangan ilmu yang menyokong penciptaan, penyesaian masalah, reka bentuk dan perkongsian idea merentas lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Miri, Japri Bujang Masli berkata demikian pada majlis Pelancaran Ruang Daya Cipta (RDC) dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pustaka Negeri Sarawak dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di Pustaka Negeri Sarawak Miri, hari ini.
Ruang Daya Cipta ini merupakan kesinambungan kepada Makerspace yang diperkenalkan pada 2018 dan kini menjadi model Pusat Daya Cipta (RDC) perpustakaan pertama di Malaysia.
Pencapaiannya terus melonjak dengan peningkatan signifikan dalam penganjuran aktiviti daripada 36 program melibatkan 1,520 peserta pada tahun 2023 kepada 96 program dan lebih 10,000 peserta pada tahun 2024 dengan sokongan 87 agensi kolaboratif.
“Ini adalah manifestasi nyata betapa pentingnya sinergi dalam menjayakan misi pembangunan inovasi masyarakat,” katanya lagi.
MoU yang dimeterai bersama Yayasan Inovasi Malaysia membuka peluang pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama, merangkumi pembangunan bakat, penyelidikan akar umbi dan penyediaan akses kepada teknologi lestari.
“Pustaka amat komited menyokong agenda Sarawak Digital dan Wawasan Pembangunan Pasca COVID-19 2030. Kolaborasi seperti ini membolehkan program digerakkan secara lebih bersasar dan menyeluruh,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, termasuk kakitangan, rakan kolaborasi, fasilitator dan komuniti setempat yang menjadi tulang belakang kejayaan pembangunan ruang daya cipta ini.
“Marilah kita manfaatkan sepenuhnya ruang ini sebagai medan pencetus idea baharu, tempat bertemunya minda-minda kreatif dan ruang untuk menyalakan api inovasi dalam setiap individu. Semoga segala usaha ini memberi manfaat besar kepada negeri dan generasi akan datang,” ujarnya lagi. – TVS