MIRI, 23 Jun: Ruang Daya Cipta (RDC) Miri yang terletak di Pustaka Negeri Sarawak kini menjadi fasiliti kedua seumpamanya di negeri ini selepas RDC pertama diwujudkan di Sibu Digital Innovation Hub.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata sehingga kini sebanyak 23 RDC telah dibangunkan di seluruh negara bagi dimanfaatkan oleh komuniti setempat.
“RDC Miri dirangka dengan matlamat menjadi hab reka cipta, pusat latihan teknikal serta inovasi sosial yang inklusif dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat di Miri dan kawasan sekitarnya, tanpa mengira latar belakang,” katanya berucap merasmikan RDC Miri, di sini, hari ini.
Menurutnya, di tengah kepelbagaian budaya serta tradisi keusahawanan unik di Sarawak, RDC diharap menjadi pemangkin utama kepada transformasi teknologi yang mampan dan inklusif, selari dengan keperluan serta aspirasi masyarakat negeri ini.
Yusof berkata, pelbagai modul telah mula dilaksanakan di RDC Miri termasuk 3D Resin Showcase, Glow Sense: LED Magic with Ultrasonic Sensors, Dobot Robotic Arm: Laser Engraving dan Virtual Reality Exploration.
Beliau turut menyeru agar pelbagai pihak terus menyokong pembangunan ekosistem inovasi sosial secara menyeluruh.
Kerajaan Sarawak disaran memperkukuh lagi ekosistem yang sedang dibangunkan, manakala institusi akademik pula digalakkan membudayakan sains dan teknologi melalui penglibatan aktif bersama komuniti luar kampus.
Pada masa sama, industri dan syarikat tempatan diharap membuka ruang kepada inovator akar umbi untuk mengetengahkan idea serta penyelesaian kreatif, termasuk melalui pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran.
Masyarakat juga digesa untuk terus belajar, berkongsi pengetahuan dan mencipta penyelesaian inovatif demi kemajuan serta kesejahteraan bersama.
“MOSTI bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) akan terus memperkukuh inisiatif ini melalui penyediaan pembiayaan penyelidikan, peluasan jaringan RDC ke negeri lain serta menjalin kerjasama antarabangsa yang mampan dan berimpak tinggi,” katanya.